Sunday, January 23, 2011

Hasil tangan Munah kini tembusi pasaran luar negeri

JEMPOL 13 Jan. - "Tanpa minat segalanya tidak mungkin terjadi kerana minat itulah kunci kejayaan yang saya peroleh hari ini," kata pengusaha kraf tangan pokok getah, Munah Jamil, 60.

Bakatnya dalam membuat bunga menggunakan daun getah itu kini bukan sahaja memberinya pendapatan baru tetapi produknya juga telah menembusi negara luar.
''Alhamdulillah saya menerima tempahan dari Indonesia, Singapura dan Australia. Ini merupakan peluang terbaik untuk mengembangkan perniagaan ini. Siapa sangka melalui lawatan ke tempat membuat bunga getah di Kuala Lumpur pada tahun 2000, akhirnya saya 'jatuh cinta' pada kraf tangan ini.
''Segalanya menjadi mudah apabila saya mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada pihak RISDA," katanya di sini baru-baru ini.
Ibu kepada lapan orang anak itu juga tidak menjangka minatnya akan bertukar menjadi perniagaan.
''Apabila sudah ada kemahiran lebih baik saya gunakan peluang itu untuk berniaga dan apabila kawan-kawan tengok bunga yang dibuat, mereka berminat dan menempahnya.
''Sampai hari ini saya masih mengikuti pelbagai kursus yang dianjurkan, walaupun sudah mahir dalam membuat bunga getah, saya perlu mengetahui permintaan masa kini," ujarnya yang membuka bengkel di Kampung Lonek di sini.
Menetap di Kampung Lonek juga memberikan tuah kepadanya kerana kawasan itu sentiasa dikunjungi pelancong yang mahu menetap di Inap Desa Kampung Lonek.
''Saya berpeluang menganjurkan kursus membuat bunga kepada peserta inap desa dan biasanya peserta diajar membuat bunga yang mudah agar mereka cepat belajar," tambahnya.
Antara hasil kraf yang dihasilkan oleh Munah menggunakan daun getah adalah koleksi dalam bentuk jambangan bunga, bunga telur, bunga rampai, bunga pengantin dan bunga kosage.
Malah daun getah yang telah dikeringkan juga dijadikan hiasan pada pasu, beg cenderamata, penanda buku, rantai kunci, jam dinding dan bingkai gambar.
Sementara itu, anak Munah, Nor Hafiza Ruslan, 43, turut tertarik dalam kreativiti menghasilkan bunga menggunakan daun getah.
''Sudah dua tahun saya melibatkan diri dalam kraf tangan ini dan rugi jika tidak belajar kemahiran ini," ujarnya.
Katanya, halangan terbesar adalah bau busuk yang keluar sewaktu daun getah bertukar untuk menjadi rangka daun dan itu harus ditempuh bagi sesiapa yang berkeinginan membuat bunga daun getah ini.
''Bau kurang menyenangkan itu akan berlarutan selama sebulan dan ini merupakan sebahagian proses yang perlu dilalui kerana biarpun busuk, hasilnya cantik dan berseri," katanya.
Nor Hafiza berkata, tempahan yang diterima amat menggalakkan sehingga mereka terpaksa bekerja keras untuk memenuhi permintaan pelanggan.
''Hanya saya dan ibu yang melakukan kerja ini, jadi kami terpaksa memberikan segala tumpuan untuk menyiapkan tempahan.
''Apa yang penting mutu tetap dijaga walaupun memperoleh banyak tempahan. Hasil kraf bunga daun getah ini dijual serendah RM2 hinggalah kepada RM200," kata Nor Hafiza.

No comments:

Post a Comment