Sunday, January 23, 2011

Bunga daun getah jadi sumber rezeki

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN


Nor Hafiza Ruslan melihat hasil daun getah yang telah direndam dan mengeringkannya (gambar kanan) sebelum diproses menjadi jambangan bunga di Kampung Lonek, Jempol, Negeri Sembilan.



JEMPOL 13 Jan. - Dari daun pokok getah ia berubah wajah menjadi bunga yang sangat cantik.
Itulah gambaran yang dapat diberikan kepada sehelai daun getah biasa dan menjadi bunga yang bernilai setelah melalui beberapa proses kreativiti dan pengkomersialan.
Langkahnya mudah sahaja. Hanya petik daun getah tersebut, rendam di dalam air bersih selama satu bulan untuk menghilangkan kotoran, kemudian bilas dan rendam semula dengan ubat cecair peluntur sehingga daun menjadi putih.
Bilas dan basuh daun tersebut dengan sabun untuk mendapatkan bau wangi dan selepas itu anda hanya perlu mengeringkan daun tersebut menggunakan mesin basuh.
Saat yang ditunggu-tunggu sudah tiba kerana daun getah telah bersedia untuk melalui proses seterusnya iaitu berubah menjadi bunga mengikut bentuk yang dikehendaki.
Sehelai demi sehelai daun yang telah kering diambil dan kesemuanya kini bergantung kepada pengusahanya, Munah Jamil, 60, untuk mempamerkan bakatnya untuk membentuk bunga.
Tanpa menggunakan sebarang alatan daun itu berubah wajah menjadi sekuntum bunga.
Kepuasan dapat dilihat pada riak muka Munah ketika ditemui di Kampung Lonek di sini baru-baru ini apabila dalam beberapa saat bunga ros terbentuk dengan menggunakan sebanyak 11 helai daun.
Kuntuman bunga itu diikat Munah dengan rapi menggunakan benang agar ia tidak tertanggal. Kemudian, masa untuk mewarnakan pula bunga yang telah sedia dibentuk itu.
Munah memilih warna yang dikehendaki pelanggannya dan teknik semburan digunakan untuk mewarnakan bunga tersebut.
Lebih menarik perhatian warna tersebut tidak melekit dan basah, malahan lekas kering walaupun baru sahaja disembur.
Kini tiba masa untuk melekatkan bunga yang telah sedia diikat dengan dawai halus.
Bagi menyerikan lagi bunga tersebut, dawainya yang dijadikan tangkai dililit menggunakan pita pelekat hijau agar nampak lebih kemas.
Jika inginkan kelainan, pelbagai perhiasan seperti manik boleh ditambah bergantung pada permintaan pelanggan.
Kata Munah, jika ada kemahuan, di situ ada jalan dan permintaan bunga dari daun pokok getah ini sentiasa meningkat, malahan menjadi satu tarikan kepada pelancong yang memang menggemari hasil seni rakyat tempatan.
''Jangan anggap bunga getah tidak ada nilai. Cubalah buat, pasti menyeronokkan," kata Munah yang dibantu oleh anaknya, Nor Hafiza Ruslan dalam menyediakan bunga tersebut .

No comments:

Post a Comment